Sudah masuk bulan November,memang setiap tahun pada waktu-waktu begini cuaca memang suram dan selalunya hujan akan membasahi bumi hampir setiap hari dan untuk waktu yang entah beribu kali hampir setiap petang juga aku berada di gerai celahan bangunan ini,di lorong kecil ini menikmati secawan teh o halia dan mendengar rungutan-rungutan dunia kaum pekerja mahupun si pencen.
Bagi si muda acabkali berbicara soal bolasepak,liga Eropah malah sesekali liga tempatan serta hal-hal berkaitan kehidupan malah sesekali mengumpat pemerintah.Bagi si tua berbicara soal kemanusiaan,kisah-kisah yang dibaca dari akhbar tabloid mahupun bicara soal susur galur keluarga baik anak,cucu,menantu mahupun isteri sendiri.
Ada satu ketika seorang anak muda jalan terhuyung hayang melalui lorong kecil itu dengan pandangan yang menjengkelkan maka si tua dan si muda bersatu mengumpat perihal anak muda.Ada bermacam-macam kesimpulan yang timbul.Si muda itu penagih gam ada juga yang mengatakan si muda itu penagih dadah malah ada juga yang lebih jauh mengatakan si pemuda itu kecewa sehingga tidak mampu menguruskan diri akibat di tinggal teman wanita.
Maka bersatulah si tua dan si muda mengemukakan teori masing –masing dengan sesekali diselang seli dengan sumpah seranah.Bagi yang mempunyai tilikan moral yang tinggi disimpulkan anak muda tersebuat telah rosak kerana kurang didikan dan bagi yang lebih teliti dihujahkan mengenai bagaimana hendak mengembalikan keyakinan anak muda itu mengharungi kehidupan di dunia caca marba ini.Ya,bicara-bicara ini berakhir di titis akhir minuman yang dihirup sahaja tidak akan perubahan yang lebih bersifat realistik.
Ada satu ketika pemerintah baru selesai mengemukakan belanjawan Negara pada hari sebelumnya maka hampir semua pengunjung gerai ini mengumpat pemerintah baik yang bekerja dengan pemerintah mahupun yang tidak bekerja dengan pemerintah.Maka berhujahlah si tua dan si muda tentang teori belanjawan masing-masing ibarat Menteri Kewangan yang dilantik cuma bezanya lenggok bahasa yang tidak lekang dengan maki –makian bagi meluahkan rasa tidak puasa hati mengenai sesuatu perkara.Bagi yang bekerja dengan pemerintah kelihatan agak defensif dan seringkali cuba mempertahankan apa yang dibentang pemerintah
Namun yang paling nampak rileks adalah hujah seorang lelaki yang melahirkan rasa syukur kerana harga rokok tidak dinaikkan tahun ini!
Ada juga dia satu ketika bila datangya susuk-susuk yang datang ke gerai ini pasti ramai yang akan memerhatikan dengan kaget bagai ada persoalan siapakah gerangan susuk ini?Hah!Bagi pengunjung tegar kedatangan mereka akan disambut dengan maki-makian dan sumpah seranah dengan niat bergurau.Pernah satu ketika teman saya yang baru pertama kali datang ke gerai ini terkejut dengan maki-makian yang dihamburkan seakan mencetuskan pergaduhan pada persepsi beliau sendiri.
Pada saya sesuatu yang sudah sebati walaupun janggal pada pandangan orang lain tidaklah menjadi masalah,yang penting untuk menyesuaikan diri dengan keadaan.Kita tidak perlu membuat kesimpulan dari pandangan pertama sebaliknya memberi satu ruang menyelidik sebelum membuat satu kesimpulan.Perbezaan sosio budaya memang berbeza mengikut lokasi.Lain orang lain ragam.
Mini mesyuarat kecil juga sering berlangsung di warung kecil ini yang rata-rata dibarisi oleh golongan pekerja bertali leher membicarakan soal perusahaan dengan karenah pelanggan dan sekali sekala diselang selikan rungutan mengenai polisi pemerintah yang menimbulkan rasa ketidakpuashatian pada mereka.Kelibat-kelibat ini biasanya akan muncul pada waktu makan tengahari ataupun ketika waktu pulang bekerja sekitar lima atau enam.
Warung kecil sememangnya memberikan satu ruang mencari secubit ketenangan rakyat marhaen terutama bagi golongan kelas pekerja di bandar-bandar besar mahu kecil dengan lokasi yang agak tersorok tanpa terikat dengan protokol-protokol yang menyesakkan.
0 ulasan:
Post a Comment